twitter



السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Aku perlu mendapatkannya...

Surah al-Waqiah memaparkan kisah-kisah yang menjelaskan, sesiapa pun mampu memperolehi rezeki yang melimpah-ruah dan terhindar daripada kefakiran dengan membaca surah ini secara istiqamah dan jangan pula istiqah baca yg ni yang wajib korang tinggalkan pulak.. hihi =)

Baiklah ini ada sedikit sebanyak perkongsian yang ingin dikongsi bersama : Jom intai apa ada dalam buku ni..

Al-Quran adalah mukjizat yang Allah turunkan kepada Nabi Muhammad SAW kekal hingga ke hari ini menjadi panduan hidup umat Islam sehari-hari. Di dalam al-Quran telah lengkap merangkumi semua yang perlu untuk diketahui tentang apa jua perkara. Tidak ada satu kitab atau buku pun yang lengkap di dalam dunia ini melainkan kitab al-Quran. Umat Islam dituntut supaya membaca al-Quran dan menghayatinya supaya tidak terkeluar dari landasan hidup yang sebenar.


Di dalam al-Quran mengandungi 114 surah semuanya. Terdapat beberapa surah penting yang mempunyai kelebihan untuk diamalkan sebagai bacaan setiap hari. Antara surah tersebut adalah surah al-Waqiah. Surah al-Waqiah adalah surah yang ke 56 di dalam al-Quran yang mengandungi 96 ayat. Surah ini menjelaskan tentang kejadian hari kiamat, syurga dan neraka. Juga diceritakan tentang keberuntungan orang-orang yang masuk syurga dan juga kecelakaan bagi orang-orang yang masuk neraka. Dijelaskan bahawa pada hari kiamat nanti manusia akan terbahagi kepada tiga golongan iaitu:

1. golongan yang segera melakukan kebaikan - golongan ini adalah para Nabi.
2. golongan kanan iaitu orang yang beriman - golongan orang yang soleh, para penjihad dan orang-orang yang sabar dan ikhlas melalui penderitaan dan kesukaran semata-mata untuk melalui jalan Allah.
3. golongan kiri iaitu orang yang mengingkari Tuhan - golongan yang mendustakan ayat al-Quran.

Untuk golongan pertama dan kedua Allah telah menyediakan balasan yang baik kerana telah berjuang ke jalan Allah. Sementara golongan ketiga pula Allah telah menyediakan balasan yang buruk lagi hina. Walaupun golongan ini mempunyai semua isi kekayaan di dunia namun ianya tidak akan dapat menebus dirinya dengan kekayaan itu. Golongan mana yang akan manusia pilih semuanya adalah terserah kepada individu itu sendiri. Seperti huraian penulis, setiap individu mempunyai kunci masing-masing melalui amal perbuatannya. Kunci untuk membuka pintu neraka ataupun pintu syurga.

Surah al-Waqiah begitu jelas sekali menyuruh manusia supaya sedar bahawa manusia perlu meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah dengan mempercayai rukun iman yang kelima iaitu mempercayai hari kiamat itu wujud. Pada hari kiamatlah di mana semua manusia seawal Nabi Adam sehinggalah ke akhir-akhir zaman manusia akan dihitung dan diberi ganjaran di atas setiap bentuk perbuatan mereka. Di hari itu nanti tidak akan ada seorang pun yang mampu menyembunyikan apa-apa jua serta mendustakan apa-apa jua melainkan semuanya sudah diketahui. Mereka yang tidak bertaqwa akan diselubungi dengan seribu penyesalan yang sia-sia. Mereka kelak akan dihumban ke dalam api neraka dan diberi minum dari air yang mendidih dan diberi makan dari pohon zaqqun.

Beruntunglah orang-orang yang beriman dan membenarkan hukum Allah. Golongan ini akan mendapat kemenangan, kenikmatan dan kebahagiaan di dalam syurga. Nikmat syurga adalah nikmat yang abadi dan ianya sedikitpun belum pernah menyamai nikmat kebahagiaan di dunia. Sekiranya kita yang mengecapi nikmat kebahagiaan di dunia sudah merasa betapa besar pemberian Allah kepada kita, apatah lagi apabila berada di syurga kelak. Tidak dapat terjangkau oleh pemikiran kita. Subhanallah!

Setelah memahami serba sedikit tentang maksud ayat-ayat di dalam surah al-Waqiah, penulis mengajak pula pembaca supaya mengetahui kelebihan-kelebihan tentang surah ini. Memang kita ketahui semua ayat al-Quran mempunyai kelebihan dan manafaat. Allah tidak membezakan atau melebihkan sesetengah ayat al-Quran berbanding yang lain sepertimana di dalam surah al-Anam ayat 38 yang bermaksud "Tiadalah kami alpakan sesuatu pun dalam al-kitab dan pada Tuhanlah mereka semua dihimpunkan."

Nabi juga tidak menyebut bahawa sesetengah ayat al-Quran itu mempunyai kelebihan dalam menyempurnakan sesuatu perkara. Oleh itu kita perlu beranggapan bahawa semua ayat di dalam al-Quran adalah sama rata kelebihannya. Dengan ini jelaslah bahawa sesiapa yang membaca al-Quran secara istiqamah dan sempurna tidak kira apa surah dan ayat sekalipun, insyaAllah, dia bakal menerima kebaikan di dunia dan akhirat.

Namun demikian Allah berfirman pula di dalam surah al-Baqarah ayat 269 yang bermaksud "Allah menganugerahkan hikmah iaitu kefahaman mengenai al-Quran dan sunah kepada siapa yang dia kehendaki. Sesiapa yang menerima hikmah itu, dia benar-benar mendapat kurnia yang banyak."

Di dalam mengharungi hidup manusia perlu bekerja untuk menyara hidup sendiri mahupun keluarga. Kestabilan ekonomi sesebuah keluarga perlu untuk menjamin kebahagiaan dan kemakmuran. Kebahagiaan itu akan memberikan kita ketenangan supaya kita dapat beribadat dengan selesa tanpa memikirkan kesusahan mencari rezeki. Untuk itu kita perlu melakukan ataupun mengamalkan perkara-perkara yang membolehkan kita mendapat rezeki.

Ramai yang mengetahui bahawa amalan surah al-Waqiah ini akan memberikan kekayaan serta rezeki yang melimpah ruah. Sabda Rasulullah s.a.w. : “Siapa yang membaca surah al-Waqiah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kesusahan atau kemiskinan selama-lamanya. "(Diriwayatkan oleh Baihaqi dari Ibnu Mas’ud r.a.) Kekuatan surah al-Waqiah juga ada dijelaskan di dalam ayat 89 hingga 91. Ia menjelaskan bahawa sesiapa yang dekat kepada Allah, dia akan menemui kebaikan. Dan barang siapa yang mengingkari Allah, dia akan menemui kepedihan. Di dalam ayat 75 hingga 82 juga ada menyebut peringatan Allah bahawa semua yang berlaku adalah dalam ketetapanNya. Termasuklah rezeki. Manusia boleh berdoa dan berusaha tetapi yang menentukan segalanya adalah Allah.

Namun amalan surah ini mestilah disertakan dengan usaha dan kerajinan dalam melakukan kerja. Tidak boleh berpeluk tubuh saja. Tidak ada doa yang akan termakbul dengan sendiri tanpa usaha. Doa dan usaha perlulah seimbang. Malah sesiapa yang berusaha serta mengamalkan pembacaan surah ini lalu disertakan juga amalan-amalan yang lain seperti solat sunat Duha, soleh sunat tahajud dan solat sunat hajat pasti akan memberi lebih keberkesanan lagi. Niat melakukan kerja juga memainkan peranan penting. Niat menambah rezeki mestilah kerana Allah dan untuk disalurkan ke jalan Allah. Jalan untuk melakukan kerja juga mestilah dengan cara yang halal.

Saranan bahawa surah al-Waqiah ini dibaca pada waktu malam dikuatkan dengan pembentangan surah al Muzammil ayat 20, surah al-Thur ayat 48-49, surah al Zumar ayat 9, surah Hud ayat 114-115, surah al Qadr ayat 4-5 dan lain-lain. Di dalam ayat-ayat al Quran itu Allah sering menyeru manusia supaya bangun beribadat di malam hari di ketika manusia-manusia lain diulit mimpi. Di malam hari juga turunnya para malaikat dan Jibril dengan izin Allah bagi mengatur semua urusan.

Mengenai jumlah bacaan yang perlu dibaca, tidak dapat dipastikan. Tidak ada saranan supaya surah ini dibaca beberapa kali. Namun adalah elok sekira ianya dapat dibaca lebih dari sekali mengikut kemampuan. Kerana sekiranya ia dibaca sekali sahaja ianya kurang berkesan di hati lalu akan menjadi kurang mustajab. Membaca surah al-Waqiah, atau apa-apa surah sekali pun adalah ibarat kita mengingati Allah. Semakin banyak kita membacanya, semakin dekat kita dengan Allah. Jadi bacalah ia berkali-kali dengan khusyuk dan tawaddu'.

Setelah segala usaha bersama doa yang dilakukan dengan khusyuk dan istiqamah bagi tujuan untuk mendapatkan rezeki, apa yang perlu dilakukan selepas itu adalah dengan berserah kepada Allah. Hanya Allah lah yang mengetahui apa yang terbaik untuk hambanya. Sekiranya Allah mengurniakan sesuatu yang tidak sesuai kepada hambanya, sesungguhnya Allah lebih mengetahui dan perlu diterima dengan hati yang redha. Perlu diingat bahawa Allah selalu menguji hambanya bukan saja dengan kesulitan tetapi juga dengan kesenangan dan kenikmatan.

Sepertimana dibincangkan terdahulu dinyatakan bahawa semua ayat-ayat al-Quran mempunyai kelebihan. Surah al-Waqiah juga mempunyai kelebihan tersendiri iaitu kelebihan dalam usaha menambahkan rezeki. Oleh itu ianya menjadi sangat popular di kalangan ahli ibadah apatah lagi Nabi Muhammad sendiri turut menyarankan agar surah ini diamalkan di dalam hidup seharian.

Kekuatan tentang surah ini dihuraikan oleh penulis melalui pemahaman beliau mengenai al-kasyf iaitu kewujudan kejolak jiwa atau naluri rasa yang terbuka lalu menyedari dalam hatinya tentang kebesaran Allah. Al-kasyf yang disebut terbahagi dua iaitu al-kasyf illahi dan al-kasyf iman akan mewujudkan zat dan rasa kemanisan beribadah di dalam diri apabila ibadah itu dilakukan secara berulang-ulang. Di samping itu juga harus memahami isi kandungan surah tersebut yang mengandungi perihal doa dan sejarah juga huraian tentang pembalasan yang hakiki. Penulis menjelaskan bahawa ia tidak menemukan konsep mencari rezeki di dalam surah ini namun apa yang ditemukan ialah petunjuk-petunjuk tentang kebahagiaan yang hakiki serta kemuliaan yang diberikan kepada orang-orang yang mahu mengikut petunjuk Allah. Kemuliaan inilah yang menjadi kekuatan bagi surah ini.

Seterusnya penulis membincangkan tentang kaitan surah al-Waqiah dalam aspek jiwa. al-Quran dapat mengubah peribadi seseorang manusia daripada negatif kepada positif sekiranya diamalkan dengan cara istiqamah dan tawaddu'. Surah al-Waqiah yang dibaca mampu merawat jiwa yang gelisah menjadi tenang, fikiran yang kacau menjadi rapi dan tersusun. Namun penulis melarang pembaca mengharapkan sesuatu keajaiban yang luar biasa dari surah ini umpamanya mengharapkan wang turun dari langit.

Melalui pengalaman saya sendiri kalau nak diibaratkan wang turun dari langit pun ya juga. Semasa pengajian di seberang laut sepuluh tahun lalu saya memang kekurangan wang untuk membayar yuran pembelajaran, melengkapkan alat pembelajaran, biaya sara hidup apatah lagi dengan sewa rumah yang mahal. Saya terpaksa bekerja part-time menjadi tukang sapu di sebuah supermarket pada waktu malam. Sementara pada siang hari saya menghadiri kelas. Kesempitan hidup yang semakin meruncing membuatkan pembelajaran saya sedikit terjejas. Apa yang saya lakukan ialah dengan melakukan solat sunat tahajud berserta solat sunat hajat dan selepas itu membaca surah al-Waqiah sebanyak tiga kali sahaja memandangkan tubuh badan yang sudah letih kerana seharian terpaksa mengikuti kelas dan selepas itu bergegas ke tempat kerja pula. Saya melakukannya secara istiqamah selama sebulan. Apa yang memeranjatkan dan membuatkan saya merasa bahawa wang turun dari langit ialah pada suatu hari saya telah menerima satu cek berjumlah yang sangat banyak dari Kementerian Buruh dan Kebajikan di negara tempat saya belajar. Cek tersebut adalah subsidi kos sara hidup yang diberikan kepada pelajar-pelajar muslim seperti saya. Dan mereka akan terus melakukan pembayaran setiap bulan kepada saya sehinggalah saya tamat pembelajaran. Sungguh saya tidak menyangka bahawa sebegini besarnya nikmat yang Allah berikan kepada saya di ketika itu.

Berbalik kepada tajuk perbincangan, penulis menghuraikan bahawa orang-orang yang membaca al-Quran secara khusuk dan istiqamah akan diberikan keberuntungan yang berlipat kali ganda oleh Allah. Tak kiralah samada dari segi kekayaan di dunia mahupun kesenangan di akhirat. Tetapi bagi mereka yang kufur dan menentang ajaran Allah, orang-orang ini akan dijauhkan nikmat-nikmat Allah dan rahmatNya. Pun begitu semuanya terserah bulat-bulat kepada Allah tentang siapa yang akan diberikan rahmat dan hidayatNya. Sepertimana disebutkan di dalam surah az Zumar ayat 52 yang membawa maksud " Tidakkah mereka mengetahui Allah melapangkan rezeki dan menyempitkannya bagi siapa yang dikehendakinya. Sesungguhnya itu adalah tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang beriman."

Haaa klo dah tahu lepas ni kita jadikan lah rutin seharian kita.. banyak kelebihan surah ni... selamat beramal sahabat ya akhi ya ukhti.

0 comments:

Post a Comment